Khamis, Januari 22, 2009

Kraftangan tradisional di sabah


Fungsi
Kraftangan di kalangan masyarakat asli Sabah bermula dalam usaha mereka untuk berteduh/berlindung, menutup tubuh dan mencari makanan dengan cara yang terbaik sekali. Mereka menghasilkan berbagai-bagai barang yang banyak dengan menumpukan kepada fungsi bahan yang dihasilkan dan kurang perhatian pada hiasan. Benda-benda yang dihasilkan meliputi kelengkapan rumah, pertanian dan pemburuan di samping benda untuk kegunaan ritual dan upacara keagamaan. Penghasilan kraftangan mereka bergantung pada sumber alam sekitar dan keperluan dari segi budaya.
Kepelbagaian
Kraf yang dihasilkan oleh penduduk dari berbagai-bagai budaya dalam berbilang daerah mempunyai variasi yang luas. Sebagai contoh, penduduk pesisiran pantai yang penghidupannya bergantung pada laut telah menghasilkan alat yang berbeza dari penduduk pedalaman yang masih mengamalkan penanaman padi huma atau padi sawah dan memburu serta menangkap ikan sungai. Perbezaan juga wujud di antara kebudayaan kebendaan penduduk yang mengusahakan padi sawah dan padi huma. Perbezaan bukan sahaja terdapat pada alat-alat ‘utilitarian’ tetapi juga benda-benda ritual, alat-alat muzik dan ciri-ciri kebudayaan kebendaan yang lain.
Bahan
Keadaan tentang adanya bahan-bahan tempatan juga mempengaruhi jenis kraftangan yang dihasilkan. Di daerah Tambunan, sebagai contoh penggunaan buluh untuk membuat perkakas rumah, bakul, rumah (termasuk atap) dan pagar sangat luas di kalangan masyarakat Dusun/Kadazan Tambunan. Dalam pada itu, labu pahit yang terdapat di Tambunan telah menjadikan daerah ini sebagai pusat pengeluaran sompoton, sejenis organ mulut yang diperdagangkan di kalangan kumpulan Dusun, walaupun ia juga ada dibuat di tempat-tempat lain. Rotan yang merupakan satu lagi bahan yang tahan digunakan dengan luasnya untuk membuat terendak, bakul, hiasan dinding dan juga pengikat kayu atau buluh. Bahan untuk membuat pakaian tradisional juga diperolehi daripada tumbuhan tempatan, termasuklah kulit kayu, kapas atau gentian tumbuhan daripada nanas, pisang atau kelapa.
Jenis Kraftangan
Kaum lelaki dan wanita secara tradisi membuat berbagai-bagai jenis kraftangan. Di pedalaman Sabah, sebilangan besar kaum wanita membuat terendak, anyaman tikar, tenunan kain, sulaman, bakul-bakul kecil, nyiru dan benda-benda kecil untuk kegunaan seharian. Kaum lelaki pula membuat bakul yang lebih besar, parang, alat-alat membajak dan memburu, jala dan alat menangkap ikan yang lain dan senjata. Dikalangan masyarakat nelayan tepi pantai, kaum lelaki membuat perahu, ukiran kayu, alat penangkap ikan dan wanitanya menenun dan menyulam kain, mengayam tikar dan lain-lain.
Barangan Dagangan
Benda-benda yang dibuat pada masa lalu adalah hanya untuk kegunaan rumah sahaja dan corak asas benda-benda tersebut mencerminkan fungsi asalnya. Hasil yang lebih kadang kala dijual di tamu untuk komoditi lain. Dengan cara ini, barang-barang dagangan yang diimport seperti tempayan, manik, benda tembaga, gong tembaga dan kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk pesisiran pantai dibawa masuk ke kawasan pedalaman pulau Borneo. Dengan perhubungan dengan dunia luar yang semakin meningkat, bahan-bahan yang jarang terjumpa diganti dengan benda-benda yang diimport dan lebih murah dalam usaha menghasilkan kraftangan tradisional. Dengan itu, manik-manik kaca yang jarang ditemui telah diganti dengan manik plastik yang murah dalam penghasilan manik dan hiasan pakaian. Benang kapas import yang murah kini diguna dalam sulaman dan tenunan. Kain kapas dan baldu hitam yang diimport telah digunakan sebagai pengganti kepada kain buatan sendiri secara tradisional dalam penghasilan pakaian.
Bakul
Salah satu kraftangan yang sangat banyak dibuat di Sabah ialah bakul oleh kerana benda ini dipakai oleh hampir semua kumpulan etnik. Bentuk dan jenis bakul bergantung kepada fungsi dan tradisi penduduk yang membuat benda-benda ini.
Artifak berbagai-bagai macam kini telah diubah suai dan dihasilkan untuk memenuhi selera pelancong walaupun sesetengah dari artifak ini masih dibuat dalam bentuk yang asal.
Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan WarisanSabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992.

Tiada ulasan: